9 May 2011

Pelajar ikuti kem kepimpinan 1Malaysia

Seramai 240 pelajar sekolah menengah daerah Lipis menyertai Kem Kepimpinan dan Bina Insan 1Malaysia untuk menjadi pemimpin yang mempunyai keterampilan dan disegani sejak di bangku sekolah lagi.
Ketua Unit, Sektor Pembangunan Kemanusiaan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Lipis, Shahrom Othman berkata, kem itu diadakan setiap tahun bagi memberi pendedahan kepada para pelajar asas-asas kepimpinan agar dapat menjadi pemimpin di peringkat sekolah secara berkesan.
"Sebagai pemimpin pelajar di peringkat sekolah, mereka merupakan mata dan telinga guru-guru. Maka, mereka perlu diberi pendedahan ciri-ciri dan asas-asas untuk menjadi pemimpin yang dihormati dan berketerampilan di peringkat sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian kem empat hari tiga malam itu di Pusat Kokurikulum Kampung Lalang, PPD Lipis, Pahang, baru-baru ini.
Shahrom menambah, melalui program seperti ini, ia dapat merapatkan hubungan antara pemimpin pelajar sekolah yang berlainan.
SEBAHAGIAN peserta Kem Kepimpinan dan Bina Insan 1Malaysia tekun mendengar ceramah di Lipis, Pahang, baru-baru ini.

"Mereka dapat bertukar-tukar pandangan dan pengalaman untuk dijadikan panduan sebagai pemimpin di sekolah," ujarnya.
Program ini melibatkan ketua pelajar, pengawas, ketua kelas, pengerusi persatuan dan kelab di sekolah masing-masing.
Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Lanar, SMK Kerambit, SMK Clifford, SMK Sg Koyan, SMK Seri Lipis, SMK Setia Wangsa dan SMK Orang Kaya Haji.
Sepanjang kem tersebut, semua pelajar tidur dalam khemah yang didirikan sendiri di kawasan padang bertujuan memupuk amalan gotong-royong dan kesepakatan dalam sesuatu aktiviti.
Pengisian program ialah ceramah ikhtiar hidup dan pengurusan diri; pengurusan persatuan dan kelab; pengurusan unit beruniform dan ceramah motivasi.
Seorang peserta, Muhammad Idham Najmi, 13, dari SMK Kerambit berkata, program ini banyak membantu dirinya dan para peserta untuk lebih memahami tugas serta peranan sebagai pemimpin pelajar.