18 Jul 2013

KOKU: Kejohanan Balapan dan Padang MSSP, Kejohanan Hoki MSSD dan Kejohanan Bola Jaring MSSD

Assalamualaikum,
pada 7 April 2013, seramai empat orang pelajar SMK Orang Kaya Haji telah terpilih untuk mewakili daerah Lipis ke peringkat negeri Pahang bagi menyertai Kejohanan Balapan dan Padang MSSP bertempat di Stadium Darul Makmur, Pahang. Pertandingan yang disertai oleh para pelajar SMK Orang Kaya Haji ialah pertandingan lompat kijang dan pertandingan 4 X 100 meter bawah 15 tahun lelaki.

Wakil SMK Orang Kaya Haji yang dimaksudkan ialah :-
  • Nor Ain Syafiqah
  • Siti Noraisyah
  • M. Fitri Jamaluddin
  • M. Asri Zainal


 
Pada 16 April 2013 pula, pihak sekolah telah menghantar sepasukan pelajar ke Kejohanan Hoki MSSD yang bertempat di SMK Koyan. Seramai tiga pelajar telah dipilih untuk mewakili daerah ke kejohanan peringkat negeri Pahang.

Aktiviti kokurikulum sukan diteruskan dengan Kejohanan Bola Jaring MSSD yang bertempat di SJKC Padang Tengku pada 3 April 2013. Pihak sekolah telah menghantar dua pasukan iaitu 12 orang pelajar untuk bawah 18 dan 12 orang pelajar untuk bawah 15. Pasukan sekolah bawah 18 berjaya menggondol tempat ketiga pada pertandingan pusingan awal.



30 Apr 2013

Lawatan Penanda Aras

Assalamualaikum,
pada 30 April 2013, SMK Orang Kaya Haji menerima lawatan penanda aras dari beberapa sekolah di sekitar Pahang. Seramai 40 orang guru dan pihak pentadbiran dari SMK Sultan Ahmad Shah, SMK Kampung Raja dan SMK Ringlet telah hadir untuk melawat beberapa kawasan seperti melihat bilik-bilik pengurusan khas antaranya bilik PPDa.

Selain dari itu, lawatan ini juga bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim antara para pendidik di antara sekolah-sekolah di Pahang. Lawatan ini telah diketuai oleh pengetua SMK Sultan Ahmad Shah ialah Puan Hajah Suraya Suffian dan pengetua SMK Ringlet iaitu Encik Mohd Razully Md Shariff.


29 Apr 2013

Program 'Moh ke Sekolah'

Assalamualaikum,
pada 29 April 2013, pihak SMK Orang Kaya Haji telah melancarkan program 'Moh ke sekolah'. Program 'Moh ke sekolah' ini meningkatkan peratus kehadiran ke sekolah dan ke arah sasaran ponteng sifar serta menyemai semangat cintakan sekolah. Tuan Pengetua juga menyerahkan vest keluar kelas kepada keluar kelas kepada setiap ketua kelas.


 Seminggu sebelumnya, iaitu pada 22 April 2013, pihak SMK Orang Kaya Haji telah mengadakan program Seminar Fokus A Teknik Belajar Sejarah kepada para pelajar yang akan menduduki PMR dan SPM pada tahun ini. Program telah diadakan di dewan makan asrama SMK Orang Kaya Haji dan ia telah disampaikan oleh En Karu dari SMK Damansara.


23 Apr 2013

KOKU : Karnival Bomba dan Penyelamat & Perkhemahan PKBM

Assalamualaikum,
pada 8 April 2013, pihak SMK Orang Kaya Haji telah menghantar para pelajar yang menganggotai Kelab Bomba dan Penyelamat ke Karnival Bomba dan Penyelamat yang telah dianjurkan oleh pihak Bomba daerah Lipis. Tujuan penyertaan pelajar adalah bagi memupuk semangat disiplin dan kepemimpinan yang tinggi serta meningkatkan ketahanan fizikal dan juga mental. 

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang Karnival Bomba dan Penyelamat ialah :-
  • Kawad Kaki
  • Kawad Operasi Kering
  • Repelling
  • Abseiling
  • Tali Pandu
Pihak sekolah berbangga kerana dua orang pelajar telah dipilih untuk mewakili daerah Lipis dalam perkhemahan Bomba dan Penyelamat peringkat negeri Pahang.



Pada 19 April 2013, pihak SMK Orang Kaya Haji telah menghantar sejumlah pelajar ke perkhemahan PKBM peringkat daerah Lipis. Tujuan penyertaan pelajar adalah bagi membentuk perwatakan, daya kepemimpinan dan usaha melalui aktiviti ketenteraan.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang perkhemahan PKBM ialah :-
  • Kawad Kaki / Kawad Senjata
  • Aktiviti Menembak
  • Laluan Berhalangan
  • Pandu Arah
Kor PKBM SMK Orang Kaya Haji berjaya mendapat tempat ketiga dalam penilaian keseluruhan sepanjang perkhemahan berlangsung.


20 Apr 2013

Perkhemahan Pandu Puteri Daerah Lipis

Assalamualaikum,
pada 17 April 2013, pihak SMK Orang Kaya Haji telah menyertai Perkhemahan Pandu Puteri peringkat daerah Lipis bertempat di Pusat Kor Kampung Lalang, Kuala Lipis. Seramai 20 orang pelajar telah menyertai perkhemahan. Tujuan penyertaan pelajar adalah bagi meningkatkan pengetahuan kepanduan melalui pertandingan yang diadakan setiap tahun serta memupuk sifat tolong-menolong dan semangat kepemimpinan di kalangan para pelajar.



19 Apr 2013

Pelancaran Projek Nilam dan Minggu Celik ICT

Assalamualaikum,
pada 2 April 2013, SMK Orang Kaya Haji telah melancarkan Projek Nilam dan Minggu Celik ICT. Tujuan projek ini adalah untuk membina tabiat membaca yang berkekalan dan meningkatkan kemahiran dalam penggunaan ICT terutamanya di kalangan pelajar sekolah dan masyarakat sekeliling. Projek ini telah dilancarkan sendiri oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Mohamed Kamal Hashim, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Teknologi Pendidikan Pahang.Antara upacara yang berlaku sepanjang pelancaran ini termasuklah konsesi buku oleh pelajar SMK Orang Kaya Haji, pameran blog dan juga gimik pelancaran. 


Sehubungan dengan projek tersebut, pihak sekolah juga mengadakan Program Persijilan Etiket Digital pada 15 April 2013 hingga 18 April 2013 yang diadakan makmal komputer sekolah dengan anjuran utama oleh Pusat Internet 1 Malaysia. Program ini dijalankan untuk melahirkan pelajar celik digital, bertanggungjawab dan menggalakkan tingkahlaku baik dalam dunia digital.

14 Mar 2013

PROGRAM GEMPUR NILAM 2013



Assalamualaikum,
Pada 13 Mac 2013 (Rabu), Gerak Gempur Nilam telah diadakan untuk mengisi slot aktiviti Kokurikulum (Kelab & Persatuan). Antara lain objektif yang ingin dicapai adalah memastikan semua pelajar mempunyai Buku Rekod Nilam dan perlaksanaan NILAM dapat dijalankan dengan jayanya. Para pelajar menjalani gerak gempur nilam mengikut Kelab & Persatuan masing-masing di bawah pengawasan guru-guru penasihat.
Penyelaras program adalah Cik Zuhairah bt Yaakob, En. Alagendran A/L Karupiah dan Pn. Roziana Bt Mamat.




8 Mar 2013

Kejohanan Sepak Takraw MSSD Lipis 2013 Bawah 18

Assalamualaikum,
pada 7 Mac 2013 (Khamis), SMKOKH telah dipilih sebagai tuan rumah kepada Kejohanan Sepak Takraw MSSD Lipis 2013 bawah 18 tahun. Sebanyak 12 sekolah seluruh Lipis telah menyertai pertandingan ini.

Pertandingan ini adalah untuk mencari wakil daerah Lipis untuk ke peringkat negeri dan seterusnya kebangsaan.

SMKOKH telah menghantar dua kumpulan iaitu SMKOKH A dan SMKOKH B. Perlawanan yang dijalankan adalah secara kalah mati dengan lima pusingan bagi setiap perlawanan. Keputusan perlawanan adalah seperti berikut :-

Keputusan Kejohanan Sepak Takraw MSSD Lipis Bawah 18 2013
- Tempat pertama : SMK Merapoh
- Tempat kedua : SMK Sungai Koyan B
- Tempat ketiga : SMK Sungai Koyan A
- Tempat keempat : SMK Panglima Garang Abdul Samad B

Sayang sekali kerana di pusingan saringan, kedua-dua pasukan SMKOKH bertarung dengan pasukan yang handal iaitu SMK Merapoh dan SMK Sungai Koyan B dengan kekalahan tipis.

Setiap pemain bakal menerima sijil penyertaan dan juga pingat. Kedua-dua hadiah telah disampaikan oleh Ayahanda SMKOKH, Tuan Syed Mohamed bin Syed Agil. Kejohanan tamat pada pukul 5.00 petang.





















7 Mar 2013

Kejohanan Sepak Takraw MSSD Lipis 2013 Bawah 15

Assalamualaikum,
pada 6 Mac 2013 (Rabu), SMKOKH telah dipilih sebagai tuan rumah kepada Kejohanan Sepak Takraw MSSD Lipis 2013 bawah 15 tahun. Sebanyak 12 sekolah seluruh Lipis telah menyertai pertandingan ini.

Pertandingan ini adalah untuk mencari wakil daerah Lipis untuk ke peringkat negeri dan seterusnya kebangsaan.

SMKOKH telah menghantar empat kumpulan iaitu SMKOKH A, SMKOKH B, SMKOKH SPTS A dan SMKOKH SPTS B. Keputusan perlawanan adalah seperti berikut :-

Keputusan Kejohanan Sepak Takraw MSSD Lipis Bawah 15 2013
- Tempat pertama : SMKOKH A
- Tempat kedua : SMKOKH B
- Tempat ketiga : SMK Sungai Koyan
- Tempat keempat : SMK Padang Tengku

Sayang sekali kerana di pusingan saringan, keempat-empat pasukan SMKOKH bertarung antara sama lain bagi merebut tempat di suku akhir. Sokongan para pelajar semestinya meningkatkan semangat kesukanan antara mereka.

Setiap pemain bakal menerima sijil penyertaan dan juga pingat. Kedua-dua hadiah telah disampaikan oleh Ayahanda SMKOKH, Tuan Syed Mohamed bin Syed Agil. Kejohanan tamat pada pukul 5.00 petang.
























20 Feb 2013

Program Sekolah Angkat Pintar TM

Assalamualaikum,
Pada 18 Februari 2013 (Isnin), SMKOKH telah menerima kunjungan dari pihak TM untuk perbincangan berkenaan Program Sekolah Angkat Pintar TM. Program ini telah dijalankan oleh pihak TM dan sebanyak 11 sekolah telah terpilih dari seluruh Malaysia dan pihak TM telah memilih SMKOKH sebagai Sekolah Angkat Pintar TM ke 12.

Pelancaran rasmi bagi program ini dijangka akan diadakan pada bulan Mei 2013.

Program ini menggunakan empat modul pintar yang akan dijalankan di Sekolah Angkat Pintar TM iaitu :-
  • Motivasi dan semangat berpasukan antara pelajar, ibu bapa dan komuniti.
  • Sokongan akademik dari pihak TM termasuklah menaja seminar peperiksaan, penceramah jemputan serta kelas komputer.
  • Kepemimpinan
  • Pendidikan
Antara kelebihan yang diterima oleh pihak SMKOKH dari program ini ialah :-
  • Sokongan dana sebanyak RM200,000 selama tiga tahun bermula dari TM. RM100,000 pada tahun pertama, RM50,000 pada tahun kedua dan RM50,000 pada tahun ketiga.
  • Pelajar SMKOKH akan diberikan 20 tempat ke TM Multimedia College.
  • 20 bantuan kepada para pelajar miskin.
Program ini juga akan didokumentasikan dan diterbitkan di dalam rancangan televisyen tempatan yang dibiayai oleh pihak TM. Tahniah kepada SMKOKH kerana terpilih untuk mengikuti program ini.







8 Feb 2013

Kejohanan Catur MSSD 2013

Assalamualaikum,
Satu Kejohanan Catur MSSD 2013 telah berlangsung di dewan serbaguna SMK Panglima Garang Abdul Samad bermula pada 5 Februari hingga 6 Februari 2013. Pertandingan bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 5.00 petang.

Kategori pertandingan ini terbahagi kepada 6 kategori iaitu bawah 13 perempuan dan lelaki, bawah 15 perempuan dan lelaki, dan bawah 18 perempuan dan lelaki. Pertandingan adalah terbuka kepada semua sekolah rendah dan menengah di seluruh daerah Lipis.

4 orang teratas dari setiap kategori akan mewakili daerah Lipis ke peringkat negeri Pahang yang akan diadakan di Raub. SMKOKH telah menghantar seramai 19 orang peserta diiringi oleh tiga orang guru.

Di peringkat awal sehingga pusingan ketiga, salah seorang pelajar SMKOKH hampir mendapat empat tempat tertinggi dan hampir mewakili daerah namun beliau kecundang di pusingan keempat dan kelima, dikalahkan oleh pelajar dari SMK Chong Hwa. Beliau mendapat tempat ke 8 sekaligus melayakkan beliau untuk memiliki sijil penyertaan daerah.







3 Feb 2013

Sambutan Maulidur Rasul 1434 Peringkat Sekolah SMKOKH

Assalamualaikum,
Pada 20 Rabiul Awal 1434 Hijrah bersamaan 1 Februari 2013, SMKOKH telah mengadakan sambutan Maulidur Rasul bertempat di Surau Madrasah Munawwarah, SMKOKH dianjurkan bersama Unit Bina Insan dan Panitia Pendidikan Islam SMKOKH. Majlis ini juga adalah sempena Majlis Kesyukuran Johan Kebangsaan Bilik PPDa.

Majlis bermula pada pukul 7.30 pagi bermula dengan taklimat ringkas kemudian diikuti dengan perarakan mengikut kumpulan badan beruniform. Setiap badan beruniform membawa sepanduk masing-masing bagi menunjukkan rasa kecintaan kepada Baginda Rasulullah s.a.w.

Sepanduk-sepanduk yang cantik ini juga akan digunakan untuk penilaian bagi pertandingan sepanduk tercantik SMKOKH. Setelah berakhirnya perarakan yang mana bacaan Maulid dipimpin oleh Ustaz Shahibon dan Cikgu Affendy, majlis diteruskan dengan ceramah Maulidur Rasul.

Ceramah Maulidur Rasul disampaikan oleh Pegawai Jabatan Agama Islam Daerah Lipis merangkap salah seorang Qadi di Lipis. Seterusnya beliau menyampaikan hadiah dan anugerah tokoh Maulidur Rasul tahun 2013 iaitu saudara Lokman. Pemilihan beliau adalah berdasarkan keputusan sebulat suara mesyuarat guru yang lalu.

Majlis berakhir dengan sedikit jamuan kepada semua kakitangan SMKOKH, diselangi nyanyian nasyid memuji Rasulullah s.a.w oleh kumpulan nasyid sekolah.