20 Feb 2013

Program Sekolah Angkat Pintar TM

Assalamualaikum,
Pada 18 Februari 2013 (Isnin), SMKOKH telah menerima kunjungan dari pihak TM untuk perbincangan berkenaan Program Sekolah Angkat Pintar TM. Program ini telah dijalankan oleh pihak TM dan sebanyak 11 sekolah telah terpilih dari seluruh Malaysia dan pihak TM telah memilih SMKOKH sebagai Sekolah Angkat Pintar TM ke 12.

Pelancaran rasmi bagi program ini dijangka akan diadakan pada bulan Mei 2013.

Program ini menggunakan empat modul pintar yang akan dijalankan di Sekolah Angkat Pintar TM iaitu :-
  • Motivasi dan semangat berpasukan antara pelajar, ibu bapa dan komuniti.
  • Sokongan akademik dari pihak TM termasuklah menaja seminar peperiksaan, penceramah jemputan serta kelas komputer.
  • Kepemimpinan
  • Pendidikan
Antara kelebihan yang diterima oleh pihak SMKOKH dari program ini ialah :-
  • Sokongan dana sebanyak RM200,000 selama tiga tahun bermula dari TM. RM100,000 pada tahun pertama, RM50,000 pada tahun kedua dan RM50,000 pada tahun ketiga.
  • Pelajar SMKOKH akan diberikan 20 tempat ke TM Multimedia College.
  • 20 bantuan kepada para pelajar miskin.
Program ini juga akan didokumentasikan dan diterbitkan di dalam rancangan televisyen tempatan yang dibiayai oleh pihak TM. Tahniah kepada SMKOKH kerana terpilih untuk mengikuti program ini.







8 Feb 2013

Kejohanan Catur MSSD 2013

Assalamualaikum,
Satu Kejohanan Catur MSSD 2013 telah berlangsung di dewan serbaguna SMK Panglima Garang Abdul Samad bermula pada 5 Februari hingga 6 Februari 2013. Pertandingan bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 5.00 petang.

Kategori pertandingan ini terbahagi kepada 6 kategori iaitu bawah 13 perempuan dan lelaki, bawah 15 perempuan dan lelaki, dan bawah 18 perempuan dan lelaki. Pertandingan adalah terbuka kepada semua sekolah rendah dan menengah di seluruh daerah Lipis.

4 orang teratas dari setiap kategori akan mewakili daerah Lipis ke peringkat negeri Pahang yang akan diadakan di Raub. SMKOKH telah menghantar seramai 19 orang peserta diiringi oleh tiga orang guru.

Di peringkat awal sehingga pusingan ketiga, salah seorang pelajar SMKOKH hampir mendapat empat tempat tertinggi dan hampir mewakili daerah namun beliau kecundang di pusingan keempat dan kelima, dikalahkan oleh pelajar dari SMK Chong Hwa. Beliau mendapat tempat ke 8 sekaligus melayakkan beliau untuk memiliki sijil penyertaan daerah.







3 Feb 2013

Sambutan Maulidur Rasul 1434 Peringkat Sekolah SMKOKH

Assalamualaikum,
Pada 20 Rabiul Awal 1434 Hijrah bersamaan 1 Februari 2013, SMKOKH telah mengadakan sambutan Maulidur Rasul bertempat di Surau Madrasah Munawwarah, SMKOKH dianjurkan bersama Unit Bina Insan dan Panitia Pendidikan Islam SMKOKH. Majlis ini juga adalah sempena Majlis Kesyukuran Johan Kebangsaan Bilik PPDa.

Majlis bermula pada pukul 7.30 pagi bermula dengan taklimat ringkas kemudian diikuti dengan perarakan mengikut kumpulan badan beruniform. Setiap badan beruniform membawa sepanduk masing-masing bagi menunjukkan rasa kecintaan kepada Baginda Rasulullah s.a.w.

Sepanduk-sepanduk yang cantik ini juga akan digunakan untuk penilaian bagi pertandingan sepanduk tercantik SMKOKH. Setelah berakhirnya perarakan yang mana bacaan Maulid dipimpin oleh Ustaz Shahibon dan Cikgu Affendy, majlis diteruskan dengan ceramah Maulidur Rasul.

Ceramah Maulidur Rasul disampaikan oleh Pegawai Jabatan Agama Islam Daerah Lipis merangkap salah seorang Qadi di Lipis. Seterusnya beliau menyampaikan hadiah dan anugerah tokoh Maulidur Rasul tahun 2013 iaitu saudara Lokman. Pemilihan beliau adalah berdasarkan keputusan sebulat suara mesyuarat guru yang lalu.

Majlis berakhir dengan sedikit jamuan kepada semua kakitangan SMKOKH, diselangi nyanyian nasyid memuji Rasulullah s.a.w oleh kumpulan nasyid sekolah.